Hari
Kraf Kebangsaan merupakan acara tahunan yang diluluskan oleh Jemaah
Menteri pada 13 Mac 2002 dan akan disambut pada setiap tahun. Objektif
pelaksanaannya adalah untuk memberi pengiktirafan terhadap penglibatan
dan sumbangan usahawan dan penggiat kraf dalam membangunkan industri
kraf negara serta meningkatkan pendapatan usahawan kraf sekaligus
menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Penganjuran kali ke 10
semenjak tahun 2003 memberi impak yang positif kepada usahawan kraf dan
industri kraf negara serta masyarakat umum mengenai perkembangan terkini dalam industri kraf tempatan.
Tahun 2003, HKK telah menampilkan tema Cintai Kraf Malaysia
bagi meningkatkan kecintaan masyarakat terhadap seni kraf tempatan
yang mencerminkan budaya, warisan dan identiti bangsa. Tahun 2004, tema
Inovasi Kraf telah dipilih
sebagai tema HKK sejajar dengan usaha Kraftangan Malaysia dalam
meningkatkan mutu pengeluaran produk kraf negara. Tahun 2005, HKK telah
memperkenalkan tema Kraf Untuk Semua seiring dengan pengeluaran produk kraf yang telah dipelbagaikan dari aspek reka corak, reka bentuk dan situasi semasa.
Tahun 2006, HKK telah menampilkan tema Alam Ilham Motif Kraf yang membawa makna alam sebagai medan untuk melahir ilham cipta dalam seni kraf tempatan. Kraf Satu Warisan
menjadi tema HKK pada tahun 2007 dengan membawa maksud warisan
dihargai dengan menterjemahkannya menjadi produk kraf yang cantik dan
unik serta keagungan seni kraf tempatan yang diwarisi turun-temurun.
Tahun 2008 dan 2009, HKK memperkenalkan tema Kraf Ke Persada Dunia
selangkah dengan usaha Kraftangan Malaysia dalam mengangkat martabat
kraf warisan ke persada dunia dengan menghasilkan produk kraf yang
berkualiti dan mencapai tahap antarabangsa.
Tahun 2010, HKK menampilkan tema Kraf Kreatif dan Inovatif
yang membawa makna industri kreatif yang sentiasa menuntut perubahan
dan pembaharuan dalam pelbagai aspek seperti idea, reka corak, reka
bentuk dan sebagainya. Tahun 2011 pula HKK telah memperkenalkan tema Kraf Menjana Ekonomi
yang menampilkan penghasilan produk kraf secara komersil dapat menjana
pendapatan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi
negara. - info Bhg.Komunikasi Korporat
BORANG LAWATAN BERPANDU HARI KRAF KEBANGSAAN 2012