Thursday, August 18, 2011

TAZKIRAH RAMADHAN: KEISTIMEWAAN SEPULUH MALAM TERAKHIR


Alangkah cepatnya masa berlalu, ketika kita mula merasakan seronok melaksanakan ibadah, Ramadan semakin hampir menutupkan tirainya. 10 hari terakhir Ramadan adalah merupakan saat di mana Rasulullah s.a.w meningkatkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf dan mengejutkan ahli keluarga untuk bersama dengannya.
Berlalunya sebahagian besar dari hari-hari Ramadan sewajarnya menimbulkan kecemasan kepada kita. Apakah selama 19 hari kita berpuasa benar-benar telah menjadikan kita manusia yang bertaqwa atau sebaliknya?
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan:
عَنْ عَائِشـَة َ قـَالـَـتْ كـَانَ النـَّبـِي صلى الله عليه وسلم إذا دخلت العشر أحيا الليل وشد المئزر وأيقظ أهله
Maksudnya: Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w apabila masuknya sepuluh malam terakhir (Ramadan) baginda menghidupkan malam, baginda mengemaskan kainnya dan baginda mengejutkan isterinya dan (yakni tidak bersama dengan isteri).
Hadis ini menceritakan kepada kita bagaimana Nabi s.a.w bersungguh melaksanakan ibadah meskipun baginda s.a.w tidak melakukan dosa. Namun baginda telah memberikan satu contoh tauladan yang baik kepada umatnya di dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadan. Panduan yang diberikan oleh baginda ini menggambarkan betapa tinggi nilainya saat yang kita lalui sekarang. Menjadi suatu yang amat malang sekiranya kita semakin lemah dan cuai dalam melakukan ibadah meskipun Ramadan semakin hampir meninggalkan kita.
Imam Muslim juga meriwayatkan:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يجتهد في العَشـْرِ الأوَاخِرِ، مَا لا يَجـْتـَهـِدُ فِـْي غـَيْرِهِ
Maksudnya: Aisyah r.a berkata: “ Bahawa Nabi s.a.w bersungguh-sungguh (beribadat) pada 10 malam terakhir tidak sepertimana (di bulan) selainnya”.
Contoh yang ditinggalkan kepada kita oleh baginda s.a.w wajar dijadikan pedoman di dalam mengisi hari-hari terakhir Ramadan ini. Sepatutnya waktu ini tidak dihabiskan dengan menonton tv atau mengunjungi pusat-pusat membeli belah. Kerana inilah fenomena yang sering kita lihat. Kelebihan sepuluh malam terakhir seolah-olah tidak lansung diambil kira. Malah lebih mendukacitakan lagi ada di kalangan muda-mudi Islam yang keluar malam ke taman-taman untuk memadu kasih tanpa rasa berdosa dan malu. Sepatutnya bapa sebagai ketua keluarga mengambil berat soal membudayakan suasana ibadah khsusnya pada 10 malam terakhir ini. .Anak-anak perlukan satu panduan dan contoh dari ibubapa. Sebaliknya jika ibubapa turut serta mengabaikan ibadah di penghujung Ramadan maka tidak hairanlah anak-anak tidak berminat untuk mengerjakan solat tarawih sebaliknya datang ke masjid atau surau hanya untuk membuat bising dan bermain mercun.
Apa yang dimaksudkan dengan baginda s.a.w menghidupkan malam dan mengemaskan kain sarungnya ialah sebagai satu gambaran bagaimana bersungguhnya baginda menumpukan saat ini dengan ibadah sehinggakan baginda tidak bersama dengan isteri untuk 10 malam terakhir ini. Kesungguhan ini didorong pula dengan kelebihan sepuluh malam terakhir yang dijanjikan dengan kehadiran malam Al-Qadr atau Lailatulqadar.
Firman Allah Taala yang bermaksud: (( Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan, Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan)) . Surah Al-Qadr : 1-3
Malam al-Qadr sengaja dirahsiakan oleh Allah Taala sebagai satu ujian kepada ummat Islam di dalam mencari rahmat dan kasihNya. Bagi mereka yang benar-benar beriman keghairahan mencari redha Allah Taala menjadikan mereka begitu teruja meningkatkan pencarian ganjaran berlipatganda yang dijanjikan oleh Allah Taala. Sebaliknya bagi mereka yang alpa, saat-saat ini seringkali dipenuhi dengan aktiviti persiapan hariraya yang menyibukkan mereka hingga terlupa promosi istimewa pelepasan azab neraka yang dijanjikan oleh Allah Taala di penghujung Ramadan.
Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ialah
menghidupkan malam dengan solat malam seperti tahajjud, hajat, taubat dan juga berzikir kepada Allah Taala. Juga digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga supaya bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah. Ibubapa wajar mengajak anak-anak yang sudah dewasa khususnya bersama berqiamullail dan jangan biarkan mereka lena. Bagi memudahkan mereka bangun bersama pastikan mereka dapat tidur lebih awal. Bagi suami isteri sepuluh malam terakhir tidak digalakkan untuk bersama kerana Nabi s.a.w diberitakan bahawa baginda mengemaskan ikat kainnya yakni tidak bersama dengan isteri kerana disibukkan dengan amala ibadah.
Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadan ini iaitu dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadah kepada Allah Taala. Kata Imam Az-Zuhri:
عجباً للمسلمين تـَرَكـُوْا الإعـْتـِكـَافَ مـَعَ أنَّ النـَّبـِيَّ صَلـَّى الله عليه وسلم مَا تـَرَكـَهُ مُنـْذ ُ قـَدَمَ المَديْنـَة حـَتـَّى قـَبـِضَهُ الله عـَزَّ وَجـَلَّ
Maksudnya: “Suatu yang pelik bagi kaum muslimin mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Nabi s.a.w tidak pernah meninggalkannya semenjak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga ia meninggal dunia.-sumber DUPahang Weblog

Tuesday, August 2, 2011

HARI PELADANG, PENTERNAK & NELAYAN NEGERI PERLIS (MINI MAHA) 2011


Dwisha Craft antara sebilangan usahawan kraf yang terlibat
Rezeki sempena menyambut awal ramadhan buat usahawan-usahawan yang terlibat dalam jualan aktiviti Hari Peladang,Penternak & Nelayan peringkat negeri Perlis di Dataran Dato' Sheikh Ahmad, Kangar pada 27-30 Julai lalu. Pelbagai acara menarik serta pameran diadakan sempena aktiviti tersebut berlangsung. Tidak ketinggalan usahawan kraf negeri Perlis iaitu Dwisha Craft,Lan Seni Kraf, Liznim Kraf Ent dan Sentuhan Budi turut terbabit menyertai aktiviti jualan. Menurut usahawan dari Dwisha Craft, Puan Shabanun Sharif, smabutan yang diberikan agak menggalakkan dari pelbagai lapisan masyarakat dan hasil jualan agak meningkat berbanding dengan tahun lepas. Semoga aktiviti seperti ini dapat diperluaskan lagi promosi serta pameran pada masa akan datang untuk menarik lebih ramai lagi pengunjung datang ke negeri Perlis ini.



Friday, July 29, 2011

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN 1432H



Marhaban ya Ramadhan,Bulan dimana nafas kita menjadi tasbih, tidur kita menjadi ibadah, amal kita diterima dan do'a kita di ijabah..Selamat menyambut awal Ramadhan 1432h dan Selamat berpuasa kepada anggota kerja muslimin & muslimat dari pihak kami warga anggota kerja PKKM Perlis..

Monday, July 25, 2011

SUKAN ANTARA AGENSI KPKK NEGERI PERLIS 2011

Skuad Futsal antara pasukan yang berjaya
menyumbang mata untuk pasukan Kraf/Muzium/Bernama
Sukan antara agensi KPKK 2011 telah melabuhkan tirai pada 17hb. lalu, acara sukan yang bermula pada 9hb. lalu dengan tirai pembukaan perlawanan futsal. Gabungan skuad Kraf, Muzium & Bernama berjaya memperolehi naib johan selepas kecundang 1-0 kepada skuad Kebudayaan pada perlawanan akhir. Acara sukan lain yang turut berlangsung sepanjang 9-17hb  ialah bowling,bola tampar,sepak takraw, badminton dan sukan 'indoor-game'. Keputusan keseluruhan pasukan gabungan Kraf,Muzium & Bernama terpaksa berpuas hati di tempat ke-5 dari 6 pasukan yang bertanding. Johan keseluruhan dimenangi oleh pasukan Perpustakaan. Pihak JASA yang gagal mengekalkan komitmen sebagai juara bertahan hanya berpuas hati ditempat kedua manakala pasukan RTM,Kebudayaan dan Penerangan di tempat 3,4 dan 6. Majlis penutup sukan akan diadakan di audioturium Jabatan Kebudayaan pada malam sabtu ini.




Sunday, July 24, 2011

TAHNIAH KEPADA PASANGAN KHAIRUL & ZURA KERANA MENIMANG CAHAYA MATA

Tahniah kepada Khairul & Zura
Pihak PKKM Perlis merakamkan ucapan tahniah kepada anggota kerja En. Khairul Hijaz dan Pn. Nor Azura kerana baru-baru ini telah menimang cahaya mata pada 13hb lalu di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.Mereka dikurniakan bayi perempuan seberat 2.44kg dan diberi nama Suri Zulaikha.Tahniah sekali lagi.

HARI BERTEMU PELANGGAN 2011

Pengarah En. Rosli sedang memberi taklimat korporat
kepada jemputan yang hadir
Pada 12hb. yang lepas pihak Kraftangan Malaysia telah mengadakan Hari Bertemu Pelanggan 2011 diperingkat ibupejabat dan cawangan kecuali cawangan P.Pinang dan Sarawak. Di PKKM Perlis, aktiviti tersebut berlangsung dengan jayanya meskipun hadirin yang hadir tidak seramai diperingkat cawangan yang lain namun suasana tetap berlangsung dengan meriah. Selain usahawan kraf negeri Perlis, pihak media turut bersama membuat liputan semasa aktiviti tersebut berlangsung, turut bersama Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan hadir mengadakan pameran korporat. Pihak PKKM Perlis menyediakan 2 kaunter untuk Biro Pengaduan Awam dan Khidmat Pelanggan. Aktiviti bermula seawal jam 10 pagi dan berakhir sekitar jam 2 petang.
Penulis memohon maaf atas kelewatan melaporkan perkembangan aktiviti di PKKM Perlis oleh kerana bercuti atas urusan.







Wednesday, July 6, 2011

PENDIDIKAN KRAF :MENCANTING BATIK PERDANA BERJALAN DENGAN LANCAR

Datin Hajjah Naemah binti Jaafar, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Negeri Perlis
merasmikan majlis.
Datin Hajjah Naemah bersama Pengarah En. Rosli B. Talikun
melakukan gimik perasmian dengan mewarna batik.
6 Julai - Program Pendidikan Kraf Mencating Batik Perdana telah berjaya dianjurkan oleh pihak PKKM caw. Perlis dengan kerjasama pihak Jabatan Pelajaran negeri Perlis dan Sek. Men. Keb Putra, Padang Katong Kangar.Perasmian majlis disempurnakan oleh Datin Hajjah Naemah binti Jaafar, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Negeri Perlis pada jam 10 pagi, turut hadir bersama Pengarah PKKM caw. Perlis En. Rosli B. Talikun dan Pengetua Sek. Men. Keb Putra serta guru-guru.Program ini juga diselaraskan bersempena dengan Hari Anugerah Kecemerlangan dan Hari Kokurikulum Sek. Men. Keb. Putra 2011 yang diadakan pada 05 dan 06 Julai 2011. Program diadakan di Dewan Terbuka sekolah.Hampir seramai 350 orang murid-murid menyertai program tersebut.Zainiza Zaid dipertanggungjawabkan menjadi tenaga pengajar dan turut dibantu pekerja-pekerja beliau dan oleh  Program bermula seawal jam 9 pagi dan berakhir sekitar jam 2 petang. Gambar dibawah adalah warna-warni aktiviti semasa program tersebut berlangsung.