KUALA LUMPUR 14 Jun - Pengumuman sembilan inisiatif baharu di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Perdana Menteri membuktikan Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, pengumuman tersebut menjadi perangsang kepada orang ramai khususnya penjawat awam supaya menjalankan tugas yang diberikan dengan lebih baik.
Katanya, sebagai tulang belakang kepada kerajaan, penjawat awam perlu menyokong segala program transformasi yang telah direncanakan untuk negara kerana kejayaannya terletak kepada komitmen mereka.
"Pengumuman itu adalah berita gembira kepada rakyat negara ini terutamanya penjawat awam kerana ia membuktikan usaha mereka menyokong pelan kerajaan membuahkan hasil.
"Kita sebagai penjawat awam perlu menyokong segala pelan yang dirangka kerana akhirnya akan membawa kebaikan kepada kita juga.
''Saya sedar kita semua mahukan gaji serta insentif yang lebih baik dan perlu tahu bahawa dengan membantu kerajaan melaksanakan pelan ini sahajalah hasrat tersebut dapat dipenuhi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas pengumuman sembilan lagi inisiatif baharu di bawah ETP membabitkan pelaburan sebanyak RM2.27 bilion oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Inisiatif baharu yang diumumkan di bawah ETP itu meliputi bidang pendidikan, perubatan, pertanian, komunikasi dan prasarana, borong dan runcit serta program Pencapaian Kemampanan Kecekapan Tenaga (SAVE).
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu pula berharap pengumuman tersebut akan memberi kebaikan kepada semua pihak terutamanya golongan pengguna.
"Pengumuman ini baik kepada semua pihak dan yang paling penting ia memberi kebaikan kepada pengguna seperti yang digariskan dalam sektor borong dan runcit.
"Selain itu, saya yakin suntikan dana asing untuk menjayakan program di dalam enam bidang tersebut juga akan menjana ekonomi penduduk di negara ini dan sekali gus memacu negara ke arah berpendapatan tinggi," jelasnya.sumber Utusan Malaysia 15/6/2011
No comments:
Post a Comment