Monday, May 9, 2011

DYTM RAJA MUDA PERLIS LANCAR ANTOLOGI CERPEN & PUISI ROSLAN BIDIN

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil menerima buku Antologi Cerpen Puisi,Aina Anakku daripada Roslan Bidin sambil diperhatikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu (dua dari kiri)

Raja Muda Perlis Mahu OKU Diberi Kemudahan Mengiklan Produk
KANGAR, 1 Mei (Bernama) -- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu orang kelainan upaya (OKU) diberi kemudahan mengiklankan produk mereka.

Baginda bertitah iklan merupakan medium memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat dan mampu menyumbang kepada pendapatan golongan itu.

Sehubungan itu, baginda menyarankan modul latihan dan kemahiran kepada OKU dipelbagaikan.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika melancarkan antologi cerpen dan puisi "Aina Anakku" karya penulis cacat penglihatan, Roslan Bidin di Kampung Beseri Dalam dekat sini.

Titah baginda, masyarakat juga boleh membantu memberi motivasi dan menggalakkan golongan OKU untuk memajukan diri, serta menerima pandangan mereka kerana mungkin idea yang diketengahkan lebih baik atau tidak pernah ditonjolkan oleh orang lain.

Turut berangkat ke majlis itu, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil manakala yang hadir sama Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Sementara itu, antologi Roslan menghimpunkan lima puisi dan lapan cerpen mengisahkan pengalaman hidup penulis sendiri dan dinukilkan dalam gaya bahasa yang mudah difahami.

Untuk tempahan antologi terbitan Lan Seni Kraf Enterprise itu, sila hubungi talian 019-4506775 atau 04-9386016.

SUMBER-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment