Friday, May 20, 2011

Renungan Jumaat :Amanah dalam pekerjaan. (Tidak amanah bekerja tergolong orang MUNAFIK)



Sifat amanah dikatakan sebagai sesuatu beban yang tidak terpikul dan telah ditolak oleh makhluk-makhluk Allah SWT yang lain, namun manusia pula sanggup untuk memikulnya. Ia berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahzaab, ayat 72.


Perkataan 'amanah' berasal daripada bahasa Arab yang boleh ditakrifkan sebagai setia, kepercayaan, lurus dan seumpamanya. Namun, daripada konteks yang lebih mendalam, amanah difahami sebagai kepercayaan yang diletakkan oleh seseorang individu kepada pihak lain dalam memelihara atau menjaga akan sesuatu perkara tidak kira sama ada ia bersifat nyata atau tidak nyata.Sifat amanah sangat berkait rapat dengan keimanan seseorang. Seseorang yang beriman adalah orang yang bersifat amanah dan menerima segala kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan jujur.

Amanah yang dijunjung oleh manusia meliputi pertamanya amanah kepada Allah SWT. Ia termasuklah menunaikan segala kewajipan yang dituntut kepada-Nya, melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas dan berterusan, dan menjaga keimanan supaya sentiasa subur.

Konteks amanah yang kedua adalah amanah sesama manusia. Ia meliputi perkara- perkara seperti memberikan hak kepada orang yang berhak, menepati janji, bersikap adil dan saksama, bercakap benar, dan melakukan ihsan kepada masyarakat sekeliling.

Sifat amanah ini adalah antara sifat wajib yang ada pada Rasul selain Siddiq (benar), Tabligh (menyampaikan) dan Fatonah (bijaksana). Sifat amanah Nabi Muhammad SAW merupakan model nilai-nilai murni yang sempurna dan unggul yang harus diterapkan dan diteladani dalam kehidupan.
Jelasnya, sifat amanah Rasulullah SAW ini terserlah sebagai salah satu nilai-nilai murni dalam Islam yang menjadi tunjang kejayaan dan kesempurnaan seseorang ketika bekerja. Sebagai pekerja, seseorang itu perlu memenuhi dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh organisasi atau majikannya.

No comments:

Post a Comment