Tuesday, May 3, 2011

PERUTUSAN PM SEMPENA HARI PEKERJA :PEKERJA MEREALISASI TRANSFORMASI NEGARA


Pertama sekali saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua para pekerja Malaysia. Saban tahun kita menyambut hari yang amat bermakna ini sebagai pengiktirafan terhadap jasa-jasa para pekerja dalam membangunkan negara Malaysia yang tercinta.
Tidak dapat dinafikan transformasi negara dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi dalam tempoh lima dekad dimungkinkan oleh para pekerja Malaysia yang dinamik dan berproduktiviti tinggi.
Malaysia hari ini beraspirasi untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Kerajaan telahpun meletakkan segala asas transformasi kerajaan serta ekonomi yang diperlukan bagi merealisasikan matlamat ini. Walaupun demikian tanpa sokongan dan komitmen oleh para pekerja wawasan ini akhirnya akan hanya tinggal impian semata-mata.
Matlamat untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan memanfaatkan semua rakyat Malaysia. Namun semua pihak perlu sanggup mempersiapkan diri untuk memanfaati peluang-peluang yang akan terhasil dari cita-cita nasional ini. Malaysia yang maju akan memerlukan pekerja yang mempunyai daya produktiviti, daya saing, keanjalan kemahiran dan pengetahuan yang tinggi.
Negara Malaysia maju akan menyaksikan peningkatan kualiti infrastruktur asas yang disediakan kerajaan. Anak-anak kita akan mendapat akses kepada perumahan, perkhidmatan perubatan dan pendidikan yang lebih baik. Namun untuk semua ini menjadi realiti memerlukan kita menyinsing lengan mengukuhkan tekad serta melipatgandakan lagi usaha.

No comments:

Post a Comment