Tuesday, June 28, 2011

ISRAK & MIKRAJ 27 REJAB 1432H


Peristiwa Israk Mikraj ini mengandungi banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar. 2 pengajaran penting daripadanya iaitu adalah :
1. Kewajiban solat lima waktu telah dianugerahkan kepada umat Muhammad. Kewajiban solat diwahyukan terus tidak seperti kewajiban ibadat lain seperti zakat dan puasa yang diturunkan sebagai wahyu dan disampaikan melalui Jibril. Itu menunjukkan betapa penting dan istimewanya solat. Kewajiban solat juga adalah hadiah yang paling berharga kepada Nabi untuk merawat segala kesedihan dan kemurungan yang baginda hadapi.
Solatlah sebenarnya jalan penyelesaian kepada segala masalah yang kita hadapi. Andai kita berhadapan masalah yang berat yang tak tertanggung, kekecewaan yang tak terbendung, kebuntuan mencari jalan keluar, keresahan dan kekosongan jiwa, kembalilah kepada Allah. Carilah pengampunanNya dan berbicaralah terus dengan Nya.
Hamburkanlah segala duka lara dan resah gelisah jiwa kepada Yang Maha Pencipta, dalam setiap sujud kita. Jangan disimpan kemarahan kita kepada manusia. Lepaskanlah segala kekecewaan kita itu dan mengadulah kepada Yang Maha Bijaksana.
2. Israk Mikraj juga menguji keimanan kita untuk beriman kepada Allah dan Rasulnya dalam hal-hal yang di luar jangkauan pemikiran kita. Sahabat Nabi seperti Abu Bakar beriman dan percaya dengan sepenuh hati bahawa Nabi memang telah pergi ke Palestine dan merentasi 7 langit pada satu malam.
Bayangkanlah jikalau perkara yang sama itu disampaikan pada kita sekarang. Adakah kita akan mempercayai dan beriman dengannya sebagaimana Abu Bakar? Atau kita akan mula menggunakan logik akal kita lalu akan menolak kesahihan peristiwa itu dengan alasan tak masuk akal dan tak logik? Kita akan mula mengeluarkan teori sains yang kita tahu yang menafikan manusia boleh merentasi 7 langit hanya dalam satu malam. Mungkinkah jugakah kita akan ketawa sinis dan mempersendakan berita itu sebagai karut?

INTERAKTIF KRAF: MARI BELAJAR MEMBUAT WAU BERSAMA EN.SAMAT B. MAN


* Untuk info serta maklumat lanjut mengenai pembuatan wau, sila hubungi pihak PKKM caw. Perlis atau En. Samat B. Man di talian 013-4466316. Boleh juga dapatkan wau D.I.Y (do it yourself) seperti yang tertera pada bahagian kanan blog.




Friday, June 24, 2011

TAZKIRAH JUMAAT :CIRI-CIRI PEMIMPIN YANG BAIK

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa'id radhiallahu 'anhu, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling dicintai oleh Allah pada hari kiamat dan paling hampir tempat duduknya ialah ketua (pemimpin) yang adil, dan orang yang paling dibenci oleh Allah pada hari kiamat dan baginya azab yang paling pedih ialah ketua (pemimpin) yang zalim". (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Kejayaan sesebuah organisasi bergantung ke atas prestasi kolektif pentadbirnya, iaitu orang yang mengarah kerja dan memimpin kakitangan keseluruhannya. Pemimpin (atau Ketua Jabatan) secara bersendirian mesti mendapatkan kerjasama secara sukarela daripada rakan sejawatnya kerana proses kepimpinan memang melibatkan dua orang atau lebih. Seorang daripadanya cuba membimbing dan mendorong yang lain dalam usaha mencapai matlamat sistem. Dalam proses perhubungan Ketua Jabatan dan kakitangan, terdapat banyak aspek yang perlu diberi perhatian.
Misalnya, bagaimanakah seorang Ketua Jabatan mempengaruhi tingkah laku kakitangan supaya dapat menghasilkan output yang sempurna. Sebagai contoh dalam situasi sekolah misalnya, pengetua/guru besar dan guru-guru berusaha melahirkan pelajar yang sempurna dari segi mental, fizikal, rohani dan jasmani. Seorang pengetua/guru besar mesti mempunyai ciri-ciri kepimpinan, agar mendapat kerjasama dan diterima oleh semua kakitangan di sekolah.
Apabila seseorang itu berjaya memimpin, ini bermakna dia berjaya mempengaruhi anggota-anggota yang lain di dalam organisasi itu. Kebolehan mempengaruhi bergantung kepada unsur yang penting iaitu kuasa yang ada pada seseorang itu. Mengikut Dr Robiah Sidin (1988), dalam bukunya ‘Asas Pentadbiran Pendidikan’, beliau menegaskan bahawa secara umumnya ada dua jenis kuasa yang boleh dipegang oleh seseorang pemimpin itu. Pertama, kuasa yang datang dengan jawatannya di dalam organisasi itu dan kedua, kuasa yang berpunca daripada keadaan dirinya sendiri atau kuasa individu. Kuasa yang bersangkut paut dengan jawatan adalah penting kerana memberi kepercayaan kepada anggota-anggotanya. Walaubagaimanapun untuk seseorang itu kekal menjadi pemimpin dia mesti juga mempunyai kuasa yang berunsurkan kebolehan tersendirinya.

Tuesday, June 21, 2011

PROGRAM PENGHAYATAN 1 MALAYSIA :PEMIMPIN BERSAMA MASYARAKAT LUAR BANDAR

Menteri Besar Perlis hadir untuk perasmian
Seperti yang dinyatakan pada coretan blog yang lalu, pihak PKKM caw. Perlis dipilh menjadi tempat berlangsungnya program Penghayatan ! Malaysia : Pemimpin Bersama Masyarakat Luar Bandar kawasan Dun Kayang (N10). Aktiviti bermula seawal jam 7pagi dengan kehadiran penduduk kampung datang bergotong-royong menyiapkan masakan untuk aturcara jamuan rakyat pada sebelah tengahari. Pada jam 10pagi pula berlangsungnya aktiviti sukan rakyat seperti acara tarik tali, lari dalam guni, lambung kasih dan boling kelapa, turut berlangsung juga aktiviti mewarna bagi kanak-kanak. Pihak PKKM turut melibatkan diri dalam aktiviti pameran dan jualan selain kehadiran agensi-agensi lain seperti Jabatan Kesihatan, SPR dan Jabatan Penerangan turut serta menyertai pameran korporat. Dianggarkan hampir seramai 2ribu penduduk serta masyarakat hadir memberi sokongan untuk program tersebut. Kehadiran Menteri Besar Perlis juga memeriahkan lagi suasana program pada sebelah tengahari. Aktiviti berakhir dengan ucapan serta pemberian hadiah kepada pemenang-pemenang acara sukan dan cabutan bertuah oleh YB. Ahmad Bakri B. Ali,wakil rakyat kawasan DUN Kayang (N10).Semoga aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memeriahkan suasana perkarangan PKKM Perlis. Terima kasih kepada semua mereka-mereka yang terlibat dari awal hingga akhir program.








Saturday, June 18, 2011

KENDURI RAKYAT : GOTONG-ROYONG BERSAMA PENDUDUK KAMPUNG


Perkarangan PKKM Perlis dipilih sebagai lokasi untuk aktiviti kenduri rakyat bersama pemimpin YB. Ahmad Bakri Ali wakil rakyat DUN Kayang (N10) yang akan diadakan pada 19hb ini. Aktiviti tersebut dijangka menarik seramai 2 ribu penduduk kampung bagi menghadiri kenduri tersebut Menteri besar Perlis dijangka merasmikan majlis. Pelbagai aktiviti menarik akan disajikan sempena kenduri itu berlangsung. Pada Jumaat semalam, aktiviti gotong-royong diadakan membabitkan anggota kerja PKKM Perlis bersama wakil penduduk kampung DUN Kayang. Aktiviti bermula pada jam 4 petang dan berakhir sekitar jam 7 malam.







Friday, June 17, 2011

TAKZIAH PUAN FARAH SUFIANA SEKELUARGA


Takziah diucapkan kepada Puan Farah Sufiana binti Razali, anggota kerja Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia atas pemergian adik tersayang. Semoga roh arwah di cucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan kekasih Allah s.w.t. Al-Fatihah -sumber Bhg. Komunikasi Korporat

Thursday, June 16, 2011

SISIPAN BERITA: INISIATIF BAHARU ETP BUKTI NEGARA DI LANDASAN TEPAT

KUALA LUMPUR 14 Jun - Pengumuman sembilan inisiatif baharu di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Perdana Menteri membuktikan Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, pengumuman tersebut menjadi perangsang kepada orang ramai khususnya penjawat awam supaya menjalankan tugas yang diberikan dengan lebih baik.
Katanya, sebagai tulang belakang kepada kerajaan, penjawat awam perlu menyokong segala program transformasi yang telah direncanakan untuk negara kerana kejayaannya terletak kepada komitmen mereka.
"Pengumuman itu adalah berita gembira kepada rakyat negara ini terutamanya penjawat awam kerana ia membuktikan usaha mereka menyokong pelan kerajaan membuahkan hasil.
"Kita sebagai penjawat awam perlu menyokong segala pelan yang dirangka kerana akhirnya akan membawa kebaikan kepada kita juga.
''Saya sedar kita semua mahukan gaji serta insentif yang lebih baik dan perlu tahu bahawa dengan membantu kerajaan melaksanakan pelan ini sahajalah hasrat tersebut dapat dipenuhi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas pengumuman sembilan lagi inisiatif baharu di bawah ETP membabitkan pelaburan sebanyak RM2.27 bilion oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Inisiatif baharu yang diumumkan di bawah ETP itu meliputi bidang pendidikan, perubatan, pertanian, komunikasi dan prasarana, borong dan runcit serta program Pencapaian Kemampanan Kecekapan Tenaga (SAVE).
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu pula berharap pengumuman tersebut akan memberi kebaikan kepada semua pihak terutamanya golongan pengguna.
"Pengumuman ini baik kepada semua pihak dan yang paling penting ia memberi kebaikan kepada pengguna seperti yang digariskan dalam sektor borong dan runcit.
"Selain itu, saya yakin suntikan dana asing untuk menjayakan program di dalam enam bidang tersebut juga akan menjana ekonomi penduduk di negara ini dan sekali gus memacu negara ke arah berpendapatan tinggi," jelasnya.sumber Utusan Malaysia 15/6/2011

Thursday, June 9, 2011

JERING RAWAT SISA KUMBAHAN AIR BATIK?

Jering kurang digemari oleh kerana mengeluarkan bau yang kurang enak
WARNA-WARNA menawan fabrik batik Malaysia kini menghiasi tubuh para supermodel di kota-kota fesyen seperti di Milan, Paris dan New York. Malah, ramai yang terpikat dengan keunikan batik keluaran Malaysia.
Namun, tanpa disedari sisa kumbahan memproses batik mengandungi bahan pewarna dan kimia berbahaya.
Sehubungan itu, seorang pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Habsah Alwi dan ahli kumpulan penyelidikannya mencari kaedah terbaik dan mesra alam bagi mengatasi masalah tersebut.
Lebih menarik, kumpulan penyelidik itu menggunakan jering untuk membersihkan sisa kumbahan yang terhasil daripada proses membatik.
Jering atau nama saintifiknya pithecellobium jirnga cukup terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu sebagai salah satu ulam-ulaman pembuka selera. Namun, jering juga kurang digemari kerana baunya yang kurang menyenangkan.
Bagaimanapun, orang ramai mempunyai sebab mengapa mereka harus menyukai jering kerana ia membantu membersihkan sisa kumbahan memproses batik.
“Berdasarkan penyelidikan yang kami jalankan, jering mempunyai keupayaan untuk mengurangkan warna dalam sisa-sisa cecair kumbahan dari kilang batik.
“Tergolong dalam kelompok sayur-sayuran, jering juga mempunyai nilai-nilai perubatan yang tinggi. Bukti saintifik menunjukkan ia mampu mencegah penyakit diabetes dan hipertensi,” ujar Habsah ketika ditemui Kosmo! di Shah Alam baru-baru ini.
Menurut Habsah, disebabkan semakin ramai yang kurang menggemari menikmati jering sebagai ulan-ulaman, beliau dan penyelidik lain mengambil inisiatif mengkaji kegunaan lain buah itu.
Buah dan polong jering yang mengandungi bahan aktif dan tinggi bahan biodegradasi dipercayai boleh merawat air kumbahan yang dihasilkan oleh kilang tekstil.
Justeru, ia sesuai digunakan oleh pengusaha tekstil terutama pengeluar batik kerana kilang-kilang ini menghasilkan sisa kimia yang banyak.
Perubahan sampel

SISA kumbahan memproses batik dipercayai mengandungi bahan pewarna dan kimia yang berbahaya. – Gambar hiasan.


“Hasil penyelidikan yang dijalankan, biji dan sabut jering dibersih dan diasingkan. Kemudian ia dilumat dan disaring untuk mendapatkan saiz homogen.
“Biji dan sabut jering dimasukkan di dalam ketuhar pada suhu antara 50 hingga 100 darjah Celcius selama 24 jam untuk proses pengeringan. Selepas itu, beberapa sampel sisa kumbahan batik dimasukkan ke dalam gelas dan ciri-ciri sampel direkodkan.
“Kemudian, biji dan sabut jering yang telah diproses turut dimasukkan ke dalam gelas-gelas tersebut,” terang Habsah. Perubahan air di dalam gelas diperhatikan dari semasa ke semasa dan dibandingkan dengan sampel yang tidak dirawat.
Keputusannya mendapati sisa batik yang berwarna biru semakin pudar selepas diletakkan jering yang telah dikeringkan.
“Keadaan ini berlaku kerana bahan aktif yang terdapat dalam jering iaitu asid djenkolik dan alkoloid dipercayai memerangkap pigmen warna biru melalui mekanisma serapan.
“Elemen ferum dan kalsium juga membantu mengumpulan pigmen dan menguraikannya dengan cara pengendapan graviti.
‘Pemendapan pigmen yang telah ditapis menjadikan sampel tersebut berwarna biru muda yang kemudian dirawat dengan cara mengalirkannya melalui karbon aktif untuk mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar,” jelas rakan penyelidik Habsah, Radziah Wahid.
Penemuan itu bagaimanapun memerlukan kajian lebih lanjut terhadap bahan aktif yang dapat menghilangkan warna. Namun, kajian itu juga memberi manfaat kepada komuniti desa dan Orang Asli yang mencari rezeki dengan menjual jering.
Penemuan itu turut memberi idea-idea baru dalam mencari sumber hijau lain untuk mengubati air sisa kumbahan tekstil - Petikkan sumber Kosmo! 8/6/2011.

Tuesday, June 7, 2011

MB PERLIS MAHU PENJAWAT AWAM NEGERI ITU LUNASKAN TUGAS HARIAN SEBELUM PULANG

"Perlis telah menjana wawasan Perlis Maju 2015 dan untuk mencapai wawasan itu,
penjawat awam perlu menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas mereka,"-Dato' Seri Md. Isa Sabu

KANGAR, 6 Jun (Bernama) -- Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu hari ini meminta penjawat awam di negeri itu berusaha melunaskan tugas harian mereka sebelum pulang ke rumah masing-masing pada sebelah petang.

Katanya menerusi cara itu, mereka dapat mengelakkan tunggakan tugas yang selama ini menghalang kelicinan sistem penyampaian kerajaan.

Beliau juga meminta warga perkhidmatan awam di negeri itu menguruskan kewangan peribadi mereka secara bijak, agar tidak terbeban dengan masalah hutang sehingga menjejaskan prestasi kerja.

Ini kerana katanya, ada penjawat awam yang terpaksa membelanjakan sehingga 40 peratus daripada gaji mereka untuk membayar hutang.Beliau berucap pada perhimpunan bulanan penjawat awam Perlis.-Sumber Bernama.

Sunday, June 5, 2011

TAKZIAH BUAT SUZAINA AHMAD ATAS PEMERGIAN IBU MERTUA

" Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.” (QS. 29:57)
Pihak PKKM caw. Perlis merakamkan salam takziah kepada Puan Suzaina Ahmad (anggota kerja PKKM caw. Perlis) sekeluarga diatas pemergian ibu mertua pada petang jumaat semalam. Semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah S.W.T dan ditempat bersama-sama golongan mereka yang beriman..Al-fatihah....(photo credit to inasuzana)

Friday, June 3, 2011

LAWATAN TIMB. PENGARAH BHG. USAHAWAN BERSAMA PENGARAH CAWANGAN & ANGGOTA KERJA KE TAPAK BENGKEL BARU


En. Razis diberi penerangan mengenai tapak

membangunkan bengkel baru usahawan

Pihak PKKM Perlis menerima kunjungan Timbalan Pengarah Bahagian Usahawan ibupejabat iaitu En. Mohd Razis B.Md. Said dan anggota kerja. Beliau hadir ke sini untuk sesi lawatan ke tapak bengkel baru untuk usahawan Husadi Enterprise dan Batik Inderawasih. Mengiringi bersama beliau ialah Pengarah cawangan En. Rosli b. Talikun serta anggota kerja bahagian usahawan peringkat cawangan.Sesi lawatan bermula seawal jam 9 pagi di tapak bengkel Husaidi Enterprise kemudian lawatan terakhir ke bengkel Batik Inderawasih.