Tuesday, March 8, 2011

INTIPATI AMANAT PERHIMPUNAN BULANAN PERKHIDMATAN AWAM NEGERI DAN PERSEKUTUAN

7 Mac. - Pihak kerajaan negeri Perlis sedang berusaha lebih komited untuk mendukung sasaran negeri Perlis menjadi negeri maju pada tahun 2015. Pelbagai perancangan telah diatur dengan kerjasama agensi / jabatan negeri dan persekutuan bagi mencapai kecemerlangan organisasi untuk mendukung wawasan tersebut, ujar Dato' Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Ibni Almahum Tuanku Syed Putra Jamalullail sempena perhimpunan bulanan penjawat awam peringkat negeri Perlis. Antara intipati lain yang telah dihuraikan adalah seperti berikut :


a. Budaya menghargai dan menepati masa.
- Dato ' seri menekankan dengan menepati dan menghargai masa sesuatu keputusan dan gerak kerja akan berlaku dengan lebih mudah dan pantas tanpa mengambil masa yang lama dengan mengambil contoh negara Korea Selatan yang telah menjadi negara maju dalam masa singkat oleh kerana negara tersebut telah menerapkan nilai - nilai ini dalam proses kerja seharian. Selain itu, beliau juga mengutarakan falsafah yang dipetik dari Bill Gates iaitu " Business at the speed of thought ".Dalam konteks falsafah yang dipetik beliau menyatakan bahawa bagaimana pihak agensi / jabatan memperutukkan masa untuk memberi maklumbalas kepada pelangan khususnya kepada pelabur atau perdagang yang berminat melabur dalam negeri sambil mengambil contoh kelewatan masa ketika mengadakan sesi mesyuarat dan lain - lain aktiviti.


b. Pemimpinan berkesan (Effective Leadership)
- Dato' Seri menyatakan bahawa kepimpinan berkesan hendaklah bermula dengan " self leadership"(kemimpin kendiri). Perkara ini telah pun diajar oleh agama islam " Setiap kamu adalah bertangunggjawab sebagai pemimpin". Beliau berpesan semua penjawat awam supaya mengamalkan prinsip tersebut.


c. Kreativiti
- Dato' Seri berkata, tidak semua manusia dilahirkan sebagai pencipta (inventor) tetapi fungsi manusia adalah untuk berfikir.Maka ujar beliau berfikirlah kamu dengan mengambil contoh negara Switzerland, negara yang tidak mempunyai pokok koko tetapi menjadi negara pengeluar cokelat yang terkenal di dunia. Negara Jepun pula menjadi solution provider kepada ciptaan dari Eropah.


Bagi mengakhiri ucapan beliau, Dato Seri mengucapkan tahniah kepada FAMA Perlis kerana berjaya menjenamakan mempelam Sala sebagai Perlis Sunshine dan telah melonjakkan imej buah mempelam yang kini mendapat pasaran dalam dan luar negara.

Tuesday, March 1, 2011

KEMERIAHAN PESTA ANGIN TIMUR DI BENDANG


KANGAR 10 Feb. - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menjayakan 'Pesta Angin Timur... di Bendang' yang terbesar di negeri ini selama dua hari bermula 26 Februari ini.
Lebih 3,000 rakyat negeri ini yang terdiri daripada pelbagai kaum akan menyertai pesta tersebut, termasuk acara istimewa yang akan dicatat dalam The Malaysia Book of Recordsiaitu 'Tumbuk Sambal Belacan Teramai 1,000 orang'.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Sumber Manusia, Perpaduan dan Pengangkutan negeri, Abdul Jamil Saad berkata, pesta itu akan diadakan di Kampung Banir Tembus, Mukim Sanglang, Simpang Empat, di sini.
"Selain acara tumbuk belacan, terdapat program lain yang diatur iaitu persembahan tradisional, sukan rakyat, kenduri rakyat, pertandingan memasak makanan tradisional, gerai jualan dan pameran serta demonstrasi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perlis, Mohd. Rizal Ismail dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Perlis, Fadina Othman di sini hari ini.
Beliau berkata, program kenduri rakyat akan disertai oleh lebih 3,000 rakyat negeri ini bermula dengan gotong-royong kenduri pada malam 26 Februari. manakala jamuan diadakan pada pukul 11 pagi keesokan hari.
"Menu utama ialah masakan budaya tempatan yang terdiri daripada gulai ikan talang, sambal ikan keli, ulam-ulaman tempatan dan sambal belacan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pertandingan memasak makanan tradisional akan mewajibkan para peserta menggunakan peralatan memasak zaman dahulu, termasuk menggunakan kayu api.
"Menu masakan yang dipertandingkan ialah asam pedas ikan darat, gulai rebung dan sayur keladi serta nasi ulam," ujarnya.
Abdul Jamil berkata, persembahan tradisional yang akan dipersembahkan nanti turut bertujuan untuk mengembalikan nilai budaya kepada generasi muda.
Persembahan yang diadakan adalah Awang Batil, Alu Bunyi, Hadrah, Terinai, lagu tradisional rakyat, Wayang Kulit Seri Asun dan ghazal pati Nurul Amar.
Pesta itu juga akan dimeriahkan dengan persembahan gendang pelbagai kaum semasa majlis perasmian pada 27 Februari ini.
'Pesta Angin Timur...di Bendang' dianjurkan bagi mengangkat kesenian tradisional dan sukan rakyat iaitu diadakan ketika musim menuai padi yang menjurus kepada aktiviti di sawah seperti timba telaga, sukan bendang dan permainan wau.
Dalam pesta tersebut, suasana kampung diwujudkan dengan membina teratak dan dangau beratap rumbia, pangkin untuk tempat duduk orang ramai serta menu utama semasa gotong-royong iaitu pulut ikan kering dan ubi kayu.
Sementara itu, Mohd. Rizal berkata, melalui pesta itu, ia bertujuan mencapai objektif untuk mengangkat kesenian dan permainan rakyat Perlis agar dapat digilap dan diasah supaya dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
"Pesta itu akan menjadi perangsang kepada generasi sekarang dan akan datang untuk mengekalkan kebudayaan dan permainan tradisional agar tidak hilang," ujar beliau.
Katanya, ia juga sejajar dengan usaha merealisasikan matlamat utama gagasan 1Malaysia dengan adanya elemen-elemen penyatuan dalam kepelbagaian melalui aktiviti saling bantu-membantu dalam melaksanakan semua aktiviti yang dirancang - SUMBER UTUSAN.