Tuesday, March 13, 2012

KUNJUNGAN KETUA PENGARAH DAN ROMBONGAN KE PKKM CAW. PERLIS

Yang Berbahagia Ketua Pengarah sedang melihat hasil produk usahawan
sambil diperhatikan oleh Pengarah Bahagian Rekaan, En. Yusak
Pada 12 Mac lalu, pihak PKKM Perlis amat berbesar hati menerima kunjungan Yang Berbahagia Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia En. Mohd Kamil bin Mohd Ali ke PKKM Cawangan Perlis.

Delegasi kunjungan turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Yang Berusaha Tuan Haji Shahrudin bin Mohd. Nor, dan pengarah-pengarah bahagian terdiri dari Pengarah Bahagian Rekaan, En. Yusak bin Hj. Mahamud, Pengarah Bahagian Usahawan, En. Ibrahim bin Ismail dan Pengarah Bahagian Strategi Korporat,  Puan 'Ainu Sham binti Hj. Ramli. Yang Berbahagia Ketua Pengarah dan rombongan disambut oleh anggota kerja PKKM Cawangan Perlis dan 16 orang usahawan kraf negeri Perlis. Lawatan ini disusuli dengan sesi penyampaian amanat dan dialog dengan usahawan kraf.

Antara amanat yang telah disampaikan oleh beliau adalah seperti berikut :

-Sokongan padu dari usahawan kraf kepada pihak Kraftangan dari komitmen jualan produk perlu dipertingkatkan. Pihak Kraftangan akan sentiasa memberi sokongan serta bantuan kepada usahawan dari segi pasaran dengan mengadakan pelbagai promosi serta bantuan prasarana kepada usahawan yang layak dan berpotensi.
- Usahawan perlu memastikan produk yang dihasilkan lebih berkualiti dan berdaya saing agar dapat memberi kepuasan kepada kehendak pelangan.
- Semua pihak yang terlibat perlu meningkatkan usaha supaya para usahawan serta pekerja berpendapatan tidak kurang dari RM1,000.00 sebulan pada masa akan datang seiring dengan dasar kerajaan yang akan memastikan rakyat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Perkara ini juga bagi memastikan pekerja yang berkerja di bawah usahawan lebih terjamin.
- Usahawan juga digalakkan sentiasa berhubung bersama pihak Kraftangan samada pada peringkat cawangan atau ibupejabat dari segi penghasilan produk dan mengadakan perbincangan bersama pereka mengenai teknik serta rekaan baru mengikut keadaan semasa. Pihak Kraftangan juga akan memastikan usahawan tidak akan tercicir dengan peredaran zaman dengan mengadakan pelbagai sesi bimbingan teknikal serta orientasi pengeluaran.

- Pihak usahawan serta anggota kerja Kraftangan perlu berkerjasama dalam mencari peluang menarik lebih ramai pembeli membeli barangan kraf dengan mengadakan aktiviti-aktiviti seperti promosi dan sebagainya.

Perjumpaan berakhir dengan sesi bual bicara antara Yang Berbahagia Ketua Pengarah dengan para usahawan yang hadir.  
 
 Berikut adalah turutan gambar sekitar sesi lawatan serta perjumpaan tersebut berlangsung.